Aku cuba membayangkan apa yang akan
difikirkan oleh Lady Mary Wortley Montagu apabila sampai kepadanya
naskhah-naskhah ataupun bahan bacaan yang dipersembahkan oleh Jerry D Gray
kepada masyarakat umum. Adakah wanita aristokrat barat ini akan ketawa
berdekah-dekah, ataupun wanita ini menghentak-hentak kepalanya di meja makan berkonsep
Diraja England tatkala melihat logik ataupun kegilaan masyarakat umum zaman
sekarang. Bangunan tinggi menangkap langit tapi masih lagi berfikiran seperti
masyarakat zaman batu. Lady Montagu, wanita bangsawan era 1718 yang hidup pada
zaman Turki Uthmaniyyah pernah mencatat kisah perjalanan hidupnya yang melihat
dengan sendiri mata kepala beliau bagaimana keilmuan empayar khilafah
mendominasi dunia pada ketika itu.
Lady Montagu juga menjadi saksi
zaman di mana penyakit smallpox
menjadi satu kerisauan yang melanda sang ibu bapa yang tidak tahan melihat penyakit
berjangkit itu menyiksa anak-anak comel mereka. Di dalam catatannya ke Empayar
Uthmaniyyah, Lady Montagu mengibaratkan apabila datangnya musim luruh pada
bulan September, maka berbondong-bondonglah penduduk wilayah Uthmaniyyah mereka
seperti sedang berpesta. Mereka berkumpul masing-masing meminta untuk disuntik
dengan “jangkitan yang telah dilemahkan” itu. Beliau turut mengambil peluang
dengan mengambil smallpox itu untuk
kedua anaknya. Melihat keberkesanan hasil rawatan ini terhadap penyakit tersebut,
Lady Montagu menulis dan memperkenalkan kaedah rawatan tersebut jauh ke
England, dan nama Lady Montagu terpahat dalam lipatan sejarah sebagai wanita
yang terawal memperkenalkan kaedah vaksinisasi di negara barat itu.
Vaksinisasi memainkan peranan
terpenting dalam membasmi gejala penyakit berjangkit yang beperingkat-peringkat
menggemparkan dunia suatu ketika dulu. Kabut agaknya tokoh pemikir pada zaman
itu memikirkan cara untuk mengatasi masalah ini. Di zaman era pra-vaksinisasi,
penyakit poliomyelitis pernah
menyerang Amerika pada tahun 1917, membunuh sekurangnya 6000 orang dan
melumpuhkan beribu-ribu yang lain. Franklin Delano Roosevelt, Presiden Republik
Amerika ke32, turut tidak terkecuali. Lumpuh ketika menjengah usia 30-an,
presiden itu lebih banyak menghabiskan seluruh hidupnya mentadbir negara dari
atas kerusi rodanya. Masyarakat eropah sebelumnya, pada abad 18, mencatatkan, smallpox membunuh sekurangnya 400,000
orang setahun.
Jumlah yang sangat menggemparkan
dunia, mengetepikan jumlah mereka yang pernah tercatat menjadi mangsa perang
mahupun penghapusan etnik yang wujud selepasnya. Ya, untuk tempoh setahun,
jumlah ini terlalu gila. Di sebalik krisis itu, Allah dengan sifat RahmanNya mencampakkan
hikmah kepada Edward Jenner. Edward, memperkenalkan kaedah vaksinisasi apabila cubaan
memasukkan sedikit penyakit smallpox
yang menjangkiti lembu ke dalam anak salah seorang pekebun rumahnya membuahkan
hasil. Anak tersebut selamat dan terlindung daripada sebarang jangkitan kerana
imun di dalam badannya telah membentuk sistem pertahanan yang kuat. Hasil
rangsangan daripada jangkitan penyakit yang lemah itu. Selepas itu muncul pula
saintis-saintis yang meneraju era mereka tersendiri dengan penemuan demi
penemuan vaksin baru seolah memberi dunia suatu sinar dan harapan, bahawa
kegelapan penyakit berjangkit yang menjadi khuatir alam ini akan berakhir
seiring dengan kemajuan intelektual manusiawi. Nama-nama seperti Pasteur,
Shibasaburo Kitasato, Emil von Behring, Jonas Salk mengiringi saintis-saintis
terdahulu menempa kejayaan di pentas dunia vaksinisasi. Bravo. Bravo.
Pujangga Negara seberang, Raden
Adjeng Kartini pernah menerbitkan karya kontroversinya pada 1911 yang bertajuk habis gelap, terbitlah terang. Namun berbeza
situasinya dengan isu vaksinisasi dunia. Kemunculan pelbagai gerakan
anti-vaksin ini nyata membawa kepada kegelapan setelah berlalunya terang yang
lama. Mungkin inilah frasa yang terbaik bagi menggambarkan keadaan penolakan
rakyat terhadap kaedah prevensi ini. Tatkala penyakit-penyakit berjangkit ini berjaya
dihapuskan, maka konsentrasi mereka dilihat mula beralih kepada kesan-kesan
sampingan hasil daripada vaksinisasi ini. Kerisauan mereka bertukar. Mereka
yang hidup di zaman ini adalah mereka yang tidak pernah menyaksikan kengerian
yang pernah wujud suatu ketika dahulu. Lantas neuron-neuron di kepala mereka
merembeskan tindak balas yang menyebabkan mereka melakukan perkara yang tidak
sepatutnya.
Sejarah pergerakan anti-vaksin ini
bukanlah baru sahaja bermula, tetapi pencaknya di pentas rakyat seawal
kemunculan vaksin itu sendiri. Edward Jenner di awal penemuannya telah ditentang
oleh mereka yang menolak teori vaksinisasi yang dibawa beliau. Rata-ratanya
dipengaruhi idea keagamaan, juga pengaruh politik. Tidak lari juga dari mereka yang
mengatakan vaksinisasi ini bukanlah dari ajaran kristian. Marcapada, muncul
hero alaf baru apabila Gordon Stewart dan Dr Andrew Wakefield masing-masing
menerbitkan kajian yang mengaitkan vaksinisasi dengan kesan sampingan yang
berisiko tinggi seperti autism. Karyanya yang dicetak oleh penerbit jurnal
terkenal ‘Lancet’ terbang
meninggalkan benua Eropah dan mendarat kemas di bumi asia, terutamanya
Malaysia. Namun apa yang menyebabkan rakyat kita berbeza daripada mereka?
Berbanding melakukan kajian yang
terperinci, rakyat Malaysia lebih mudah terhibur dengan suapan-suapan yang
mengumpan mereka dengan umpan ‘konspirasi’. Andai di tanya sumber, maka Jerry D
Gray bolehlah dikatakan sebagai prophecy dalam
menyebarkan dakyah anti-vaksinisasi ini. Bermula dengan siri musuh utama dunia
islam Sang Rockefeller dan angkatan zionisnya dikatakan mendanai vaksinisasi
bertujuan untuk melemahkan umat sejagat, maka muncullah pejuang-pejuang atas
nama agama memperdagang isu demi keuntungan peribadi. Maka perubatan
tradisional islam diperkenalkan, dan mereka yang mendengar nama agama, pantas
terpesona.
Tidak cukup dengan itu,
kajian-kajian terbaru daripada Gordon Stewart dan Dr Andrew Wakefield meniti di
tepi bibir mereka dan sering dipetik kononnya menjadikan hujah mereka lebih
akademik. Dr Andrew Wakefield yang menerbitkan jurnal beliau mengaitkan
vaksinisasi dengan autism pada tahun 1998, telah pun digantung lessen daripada
praktis dunia perubatan kerana menyalahi etika kajian. Jurnalnya kemudian
ditarik kerana telah mempengaruhi tindakan rakyat. Wabak measles kembali di-isytiharkan endemik pada tahun 2008 setelah 14
tahun penyakit berjangkit itu dikatakan hilang dari bumi United Kingdom. Daniel
Jolley dan Karren M Douglas dalam kajiannya “The
Effects of Anti-Vaccine Conspiracy Theories on Vaccination Intentions”
mengatakan 20% daripada responden mereka bersetuju dengan kenyataan-kenyataan
konspirasi yang mereka pernah temui terutamanya di internet. Dan selamat
datang, rakyat kita sedang mewarisi tindakan mereka.
Dari laman web Channel New Asia
baru-baru ini memberikan maklumat data yang diperolehi dari kementerian
kesihatan bahawa trend penolakan vaksin di kalangan ibu bapa meningkat hampir
tiga kali ganda kepada 12000 pada tahun 2014 berbanding 470 pada tahun
sebelumnya. Nyata peningkatan yang ketara ini pasti akan terus meningkat hasil
pergerakan-pergerakan mereka yang agresif dan menjaja nama agama sebagai
tarikan. Namun adakah mereka pernah mengkaji apakah implikasinya?
Melalui kajian yang dilakukan Prof Gangarosa,
beliau memperkenalkan negara-negara yang pernah terjejas akibat dari pergerakan
kumpulan anti-vaksin ini. Di Sweden, vaksinisasi bermula pada era 1950 yang
menyaksikan insiden jangkitan penyakit pertussis
semakin berkurangan. Pada tahun 1967, muncul seorang pemimpin perubatan yang
berpengaruh, Jusus Strom, yang banyak mempertikaikan kaedah vaksinisasi ini
sehingga mengundang sokongan awam kepada pandangan beliau. Pada tahun 1980, kes
pertussis meningkat kepada 3370 untuk
setiap 100,000 orang setahun. Dan tahun-tahun berikutnya laporan mencatatkan
lebih dari 10,000 kes setahun. Perkara yang sama juga berlaku kepada
negara-negara maju seperti Jepun, Rusia dan juga UK apabila gerakan-gerakan
anti-vaksin ini telah merencatkan trend pengambilan vaksin dikalangan ibu bapa,
dan seterusnya mengundang kepada musuh lama dunia. Epidemik. Dan Malaysia, mungkin
sedang menuju ke arah yang sama.
Aku masih lagi bertanya, apakah
agama ini terlalu mudah dijaja, ataukah masyarakat kita terlalu jahil untuk
mengkaji. Lantas pengajaran bagaimana yang ingin kita ikuti? Adakah masyarakat
faham peranan Herd Immunity bilamana
senang sahaja mereka berhujah, “ kalau
nak vaksin, vaksinlah. Kalau taknak vaksin, tak payah marah. Ini hak kami ”.
Kita masih lagi degil dengan kejahilan kita. Mencari pula mereka yang bukan
ahlinya. Lupakah kita kepada firman Allah s.w.t
“… maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kalian tidak mengetahui.” (an-Nahl: 43)
Cukuplah jahil itu pada ahli
politik negara. Usahlah diwarisi kepada rakyat jelata. Kalau tidak mahu vaksin,
silalah ke hutan belantara. Maka kami semua akan gembira. Dan sekali lagi
persoalan muncul di benak minda, sekiranya Lady Montagu masih ada, apakah
beliau akan berdiam saja? Atau adakah beliau akan melemparkan sinis di dalam
syair-syairnya. Atau adakah beliau akan berpiket memegang mikrofon menghentam
mereka?
IbnuZen
No comments:
Post a Comment