Sepi perjalanan seperti biasa. Taufiq sedang lena
di-belakang, dan yang menemani aku berjaga adalah Aliff. Perjalanan dari
Kelantan ke ibu negara makan masa sekurangnya 7-8 jam. Cuma kali ini perjalanan
yang agak tidak tersusun mengakibatkan kami tersangkut di tengah kesibukan
Bandar Kota Bharu.
Ah kawan-kawan aku ini, gemar sahaja mencari gadis Kelantan.
Tahun ini sahaja sudah berapa kali aku ulang alik ke sana kerana majlis walimah.
Tapi tidak mengapa, moga kalian bahagia hingga ke akhirnya. Bagitahu sahaja
dimana majlisnya, demi kalian berapa kosnya sahaja aku bisa sampai ke sana.
Pemanduan berfokus, aku yang masih lemah dengan jalan di Kelantan mencari-cari
signboard yang menghala ke Machang. Kaki masih memijak pedal minyak yang
kadang-kadang bertukar kelajuan dari 50-70km/j. Pemanduan yang
bengkang-bengkong ini kadang-kadang
terberangan juga aku seperti sedang memandu AE86 Truno dalam anime popular
Jepun, initial D. Tapi sedar diri ini hanya memandu kereta Myvi. Oh, kereta
Myvi juga jangan dibuat main zaman ini. Pajero pun boleh terbalik. Kau kenal
Yana Toretto?
“ Aku rasa pukul 9 malam kita sampai
ni Lip. ”
Aku
melihat jam tangan yang baru menunjukkan pukul 11 pagi. Tiada sebarang petunjuk
yang mengatakan kesesakan ini akan berkurangan dalam masa yang singkat. Geram
juga dibuatnya bila memikirkan terpaksa menghabiskan separuh hari di jalanraya.
Aliff yang sejak bangun tidur tadi mengelamun mula bersuara.
“ Aku ajak gerak pukul
4 pagi tadi korang taknak. ”
Ah, ini lagi seorang perangai
tipikal malaysian. Benda sudah lepas tidak perlulah dibangkitkan semula. Yang
kita mahukan adalah solusi. Memandangkan perjalanan yang masih jauh, aku rasa
adalah patut untuk aku tidak beremosi. Layan sahajalah teguran beliau sebelum
ada yang terpaksa balik ke Kuala Lumpur dengan menaiki lori nanti. Aku
mencebik.
“ Kau termenung apa tu?
Sembang la sikit dengan aku ni. Ngantuk kau tahu tak. ”
Mata yang sedari
tadi kuyu kerana berjaga malam menonton perlawanan akhir Liga Juara-juara
Eropah benar-benar memenatkan badan. Hajat hati melihat Pirlo menjulang piala
Liga juara-juara tersebut tidak kesampaian apabila Barcelona berjaya membenam
Juventus 3-1. Bukan aku menyokong Juventus sangat, Cuma hati lebih gembira
sekiranya dapat melihat Barcelona kalah.
“ Kau perasan tak tadi? ”
“ Perasan apa dia? ”
Keliru juga aku dengan pertanyaan
Aliff ni. Buatnya salah aku beri jawapan boleh segan jadinya.
“ Takdela, tadi bila bersembang
dengan abang si Farid tu, tertanya-tanya juga aku. ”
Geram
juga aku dengan konversasi yang asyik tergantung ni. Terpaksalah aku
menggunakan common sense untuk mengorek apa yang membingungkan beliau. Dr.
Faizul, lepasan sarjana perubatan Ireland. Sebelum berada di Malaysia, beliau
sempat menghabiskan housemanship dan berkerja selama lapan tahun disana. Tiada
yang istimewa, kecuali beliau kini sudah tidak lagi berada dalam bidang
klinikal. Atau lebih tepat lagi, beliau sudah pun berhenti dari berkhidmat
dengan hospital kerajaan.
“
Aku tengok dia hidup mewah. Selesa. Kereta pun pakai Honda Accord Sedan. Bukan
calang-calang. Tapi dia kerja apa je sekarang? ”
Ya, siapa tidak kenal
dengan pernampilan Dr. Faizul. Doktor yang sepenuh masa berkhidmat bersama
Mus’ab Foundation miliknya. Sebuah NGO yang bergerak membantu pelarian-pelarian
Rohingya dan Syria di Malaysia dan rantau Arab. Mus’ab, sahabat nabi yang
pernah dihantar ke Madinah sebelum peristiwa hijrah bagi mengajar penduduk
Madinah alquran. Pemuda yang meninggalkan kemahsyuran demi kemuliaan islam.
Pemuda yang menjadi pembuka kepada penyebaran islam, mengeluarkan mereka dari
kegelapan jahiliyah kepada terangnya agama. Seindah namanya, sesuai benar nama
NGO tersebut dengan tuannya.
Dr. Faizul sentiasa kelihatan bersahaja, Cuma kadangkala
rumah banglonya dan juga koleksi keretanya kerap kali menangkap perhatian
sesiapa sahaja yang baru berkenalan dengan beliau. Baru berusia 38 tahun, Telah
dikenali rakannya sebagai orang kaya muda. Kalau bukan kerana zuhudnya beliau,
sudah pasti orang menyangka penampilan beliau seakan-akan isteri kepada perdana
menteri di Negara Pasola.
Tahun lepas, aku pernah bertemu beliau di dalam satu
konvensyen Kemanusiaan anjuran sebuah NGO perubatan Malaysia. Orangnya ramah,
tetapi ada yang pelik. Track record yang cemerlang semasa menjadi pelajar
perubatan, mendapat tawaran melanjutkan pengajian siswazah MSc Trauma &
Orthopaedics di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Faizul kini lebih
selesa untuk tidak bergerak dalam dunia klinikal, sebaliknya mewaqafkan sepenuh
masanya di dalam misi-misi kemanusiaan.
“ Doktor sara keluarga macam mana
sekarang. Setahu saya, Mus’ab Foundation bukan profit-based punya NGO kan? ”
Terlepas juga soalan super power aku
kepada beliau.
“
Haha. Kenapa tiba-tiba je ni? ”
Persoalan yang dibalas soalan tersebut
menyebabkan aku menjadi serba salah.
“
Takde apa doktor. Saje tertanya. ”
Kau gila aku tidak ter-tanya.
Maintainance banglo sahaja sudah berapa. Termasuk bulan-bulan duit Honda dia
dengan Mus’ab Foundation ni siapa yang tanggung? Pada awalnya, aku syak beliau
berkahwin dengan mana-mana anak menteri yang tengah kaya raya menibai cukai
rakyat. Ternyata aku silap, beliau hanya berkahwin dengan seorang pakar pemakanan yang berasal dari Perak. Tentunya sekali bukan anak kepada Dato’ Tajudin .
“ Awak pernah dengar konsep financial freedom? ”
Financial freedom? Terus aku terbayangkan seseorang yang
dilahirkan jutawan, ataupun memang kaki bisnes yang mempunyai aset syarikat
multi-million. Lelaki berkemeja korporat bertali leher jenama Giorgio Amani.
Meeting bersama ahli korporat dan CEO mat saleh. Ah, itu drama melayu. Takkan
dia nak bagitahu yang dia ada anak syarikat kot. Bila masa bapa si Farid ni ada
company sendiri.
“ Pernah doktor. Warren buffet?
Donald Trump ”
klise. Nama-nama tersebut spontan keluar dari mulut aku.
“ Okey, kali ini, kita ubah sedikit.
Pernah dengar konsep financial freedom and time freedom? ”
Ah sudah. Terpaku aku.
“ Wujud ke doktor benda tu? ”
“ Apa yang awak faham mengenai
financial freedom? ”
“ Financial freedom. Kebasan dalam
perbelanjaan. Orang yang ada banyak duit. Orang yang boleh berbelanja apa yang
dia suka. Orang yang ada syarikat besar-besar. Ros**h. ”
Spontan.
“ Awak percaya tak, tanpa mempunyai syarikat, saya mampu
capai tahap financial freedom? Dan yang paling penting, saya boleh beli sesuatu
yang sangat berharga. Awak tahu apa dia? ”
Senyum di wajah beliau. Agak tenang
pemuda ini.
“ Apa dia doktor? ”
“ Masa. ”
Hebat. Walaupun tengah cuba membuat
korelasi apa yang beliau cuba sampaikan, namun telinga masih fokus mendengar.
“
Kalau awak nak tahu, sejak student lagi saya memang dan berazam untuk bersara
awal. Awak jangan salah faham, bersara awal bukan bermaksud hati saya sudah
tidak lagi mahu berada dalam bidang ini. ”
“
Jadi, sebab apa doktor? ”
“
Sebab saya mahu bawa bidang ini dalam cara yang saya paling suka dan paling
komited. Awak pernah dengar Confucius punya
quote, ‘ choose a job you love, and you will never have to work for the rest of
your life. ’ ”
Memang benar, statistik dari akhbar
NST baru-baru ini juga menakutkan. Beribu-ribu doktor pelatih yang gagal
menamatkan latihan, bertukar kerjaya. Ada yang menjadi tukang masak, ada yang
memulakan perniagaan kecil-kecilan, ada yang menjadi guru dan ada yang
menganggur. Kerana apa? Kerana tertekan dengan bebanan kerja. Senang aku
ceritakan, mereka sudah tidak menjiwai kerjaya mereka. Memang kerjaya doktor
itu mulia, tapi jangan kau lupa, tekanan itu mampu merubah jiwa menjadi gila.
Senior-senior yang baru menjadi HO sahaja seperti tudak terurus sahaja aku
lihat mereka di wad. Terlalu sibuk gamaknya.
“ Jadi macam mana doktor menyara
hidup dan NGO doktor? ”
“ Semua ni tak mudah, tetapi tidak
perlu sampai memiliki syarikat-syarikat gergasi. Cukup sahaja dengan ilmu dan
pengalaman. Banyak caranya, tetapi saya memilih untuk terlibat dalam perlaburan
hartanah. ”
“ Wah, bagaimana tu doktor? ”
“ Create your property salary. Atau
dalam bahasa mudahnya, bina akaun pasif untuk perbelanjaan harian kamu. Saya memilih
hartanah. Cuba awak bayangkan, pada usia 35 tahun, saya berjaya memiliki 18
unit apartment. Dan kadar sewaan untuk semua unit ini memberikan satu pulangan
net property salary hampir RM15k untuk satu bulan. Awak kena ingat, ini adalah
akaun pasif. ”
“ Wow.”
Khusyu’ aku mendengar penjelasan beliau. Belum pernah lagi
aku berjumpa dengan doktor yang terlibat aktif dalam perlaburan hartanah,
walaupun ada beberapa figure yang aku pernah dengar nama. Namun ini yang
pertama aku bersemuka.
“ Asasnya adalah akaun pasif.
Bagaimana caranya, itu terpulang kepada perancangan masing-masing. Lalu dengan
akaun inilah yang menampung perbelanjaan harian keluarga saya. Mus’ab
Foundation pula, ada sepuluh lagi orang yang mempunyai visi seperti saya. Kami
berkongsi bahagian duit yang telah kami asingkan lebih awal, dan dengan bantuan
derma dari orang luar, Mus’ab Foundation beroperasi dalam kadar RM70k. Setiap
bulan. ”
“ wah, sampai macam tu sekali ya
doktor fikirkan. ”
“ Haha. Awak jangan salah faham
dengan saya. Saya juga manusia seperti biasa. Ada masa, saya perlu luangkan
masa bersama keluarga. Ada masa, saya juga ingin membawa keluarga bercuti ke
luar negara. Ada masa, saya juga ingin menziarahi sahabat handai. Ada masa,
saya juga perlu berada dalam masyarakat. Ada masa, saya juga perlu melihat
saudara-mara kita di sana(merujuk kepada Rohingya dan Syria). Awak fikir saya
akan dapat semuanya sekiranya saya masih lagi di dalam klinikal? Mungkin boleh.
Mungkin juga tidak. Ringkas cerita, saya bersara awal kerana saya perlukan
masa. Dan saya membelinya dengan perlaburan saya. ”
Perbualan kami terhenti apabila beliau dikehendaki untuk
bergegas ke Cheras. Ada 2 pusat pendidikan untuk warga Rohingya yang baru
ditubuhkan disitu hasil kerjasama Mus’ab Foundation dan Kementerian pendidikan.
Aku tidak mampu berhenti tersenyum melihat kelibat pemuda itu. Sungguh,
hiduplah kita dibumi ini seperti satu bangunan. Setiap batu bata yang menjadi
asas kepada kukuhnya bangunan itu, begitulah juga peranan yang perlu kita
mainkan dalam masyarakat. Masing-masing mempunyai peranan yang tersendiri. Jauh
dari sudut hati, mungkin ada beberapa perkara yang aku tidak bersetuju dengan
beliau. Tetapi aku percaya, hati mana yang terdetik melakukan kebaikan, hari
ini, aku melihat seorang pemuda yang mewaqafkan dirinya berkerja dalam bidang
kebajikan dan kemasyarakatan, apa kau sangka bukan dari yang Maha Kuasa yang
menjentik hatinya?
Gelagat kereta Saga berwarna merah plat negeri Perak
dihadapan mencuri tumpuan. Hendak memotong kemudian tidak menjadi. Hendak
memotong, lori pula yang menghalang dari arah bertentangan.
“ Gelojoh. ”
“ Kau tak menjawab soalan aku lagi
ni. Kau pernah jumpa dia kan sebelum ni? Rasanya dia dah tak jadi doktor kan?
Mana dia dapat duit ea? ”
Bertalu-talu soalan dari Aliff.
“ Macam biasa la. ” Ringkas jawapan aku.
“ Macam biasa macam mana? ”
“ Financial freedom. ”
Terus aku tukar topik dan
meninggalkan beliau dalam kebingungan. Hendak dicerita sekarang, sampai ke
Johor pun belum tentu mamat ni faham.
Sebelum
kami bersalaman, aku sempat bergurau kepadanya,
“ Tak mahu terlibat dalam politik ke doktor?
”
“ InsyaAllah. Satu hari nanti. ”
Senyuman manisnya menampakkan lagi
dua lesung pipt di pipinya. Inilah dia anak muda.
No comments:
Post a Comment