Monday 21 March 2016

#1 MENDEFINISIKAN FINANCIAL FREEDOM



Jujur dengan aku, apa yang korang faham bila pertama kali dengar pasal konsep financial freedom? korang mesti terbayangkan orang yang tiada had ketika membeli belah. Bebas berbelanja. Ada mansion dalam estet yang bernilai jutaan ringgit. jet peribadi sendiri. tiap bulan belayar atas cruise peribadi. etc etc

Jangan risau, sebab aku dulu pun fikir macam tu juga. Sebab tu aku percaya kata-kata 'knowledge' tu perlaburan yang paling power. Kau tak rugi apa jika kau invest something terutamanya bab ilmu atau pengetahuan. sebab dengan ilmu yang kau apply, kau boleh turn things yang impossible kepada possible. Aku jamin !

Bila aku sebut pasal financial freedom depan member-member aku, aku yakin dan percaya di sebalik hulu pangkal hati mereka, mesti ada yang tersenyum sinis, "seriously? Financial freedom bro? Talking nonsense ea bro?" Kau nampak tak macam mana orang korporat mendefinisikan maksud financial freedom menyebabkan mereka dilihat elitis di kalangan marhaen jalanan. Diorang mendefinisikan sesuatu yang menyebabkan kau kelihatan mustahil untuk capai setaraf mereka.

oh come on dude, kita ubah definisi ni biar kita juga boleh pecahkan tembok kapitalisme yang dah lama membezakan kaum pekerja dan kaum elitis. Kau percayalah yang kita juga mampu capai financial freedom yang kita inginkan. Dan meletakkan kita searas dengan elitis di luar sana.

tapi definisi yang bagaimana?

Definisi yang Alwi Adam maksudkan bersifat lebih terbuka dan praktikal bersesuaian dengan individu masing-masing. Kau percaya tak keperluan dan kekuatan berbelanja seseorang itu takkan sama antara satu sama lain? that's why definisi yang diperlukan perlu mempunyai fluidy dia tersendiri dan tidak rigid. Keperluan berbelanja korang mungkin agak tinggi sikit sekiranya gaya hidup korang dah terbiasa dengan kehidupan yang mewah. Dan sekiranya korang dah terbiasa dengan gaya hidup sederhana, maka keperluan belanjaan korang juga akan berkurangan.

1. Kumpulkan jumlah perbelanjaan
kumpulkan jumlah belanjaan korang mengikut income yang korang bakal terima. Ada yang dapatannya mengikut bulanan, jadi kumpul jumlah perbelanjaan mengikut bulanan. Ada yang acah-acah eropah yang dapat secara mingguan, ikut koranglah nak guna mingguan ataupun bulanan. Sebagai contoh, Mungkin seseorang perlukan RM2000 bulanan untuk tampung kehidupan dia.

2. Bezakan dahulu apakah income aktif, dan income pasif
income aktif atau bahasa mudahnya, pendapatan utama individu. Sebagai manusia biasa yang tidak bercadang untuk mendapat financial freedom, pendapatan utama adalah wang yang akan mereka keluarkan untuk menampung kehidupan secara harian. Daripada wang ini mereka salurkan untuk simpanan masa hadapan, bayar hutang dan simpan sebagai wang kecemasan. Income pasif pula dalam mudahnya ialah pendapatan sampingan yang kita jana mungkin daripada bisnes kecil-kecilan ataupun perlaburan.

3. Bagaimana menjadikan kita seorang yang bebas kewangan?
Seseorang yang digelar financial freedom bukanlah mereka yang mampu menyelesaikan perbelanjaan harian dengan income aktif, sebaliknya mereka yang digelar financial freedom adalah mereka yang mampu atau berjaya menaja kehidupan mereka sendiri dengan income pasif secara konsisten dan istiqamah. Sebagai contoh, untuk mereka yang memerlukan belanja RM2000 setiap bulan, mereka memerlukan income pasif sekurangnya RM2000. Puff, mereka dikategorikan sebagai orang yang bebas berbelanja, kerana masih punya income aktif yang masih tidak disentuh.

4. Mula berfikir dan menaja kehidupan dengan income pasif
Menteri sendiri juga sedar, disebabkan kelemahan mereka mentadbir negara, untuk hidup, marhaen perlu melakukan dua kerja. Jadi kita perlu mula melihat diri sendiri dan bak kata Chris Gardner "start where you are" . Perhatikan sekeliling anda, dan anda akan pastikan ada sesuatu bahan yang agak fundamental yang anda perlukan untuk langkah pertama mengejar income pasif anda.

Dah faham?

Dah faham? bagaimana? Rasa mustahil? tahniah, lengkapkan dengan ilmu supaya kita tidak turun ke medan ini dengan tergopoh-gapah kerana gopoh-gapah itu sifatnya untuk syaitan. Sudah faham, fahamkan kawan yang lain juga !!

Wednesday 2 March 2016

KETAWA MONTAGU KEPADA SANG ANTI-VAKSIN DI MALAYSIA




Aku cuba membayangkan apa yang akan difikirkan oleh Lady Mary Wortley Montagu apabila sampai kepadanya naskhah-naskhah ataupun bahan bacaan yang dipersembahkan oleh Jerry D Gray kepada masyarakat umum. Adakah wanita aristokrat barat ini akan ketawa berdekah-dekah, ataupun wanita ini menghentak-hentak kepalanya di meja makan berkonsep Diraja England tatkala melihat logik ataupun kegilaan masyarakat umum zaman sekarang. Bangunan tinggi menangkap langit tapi masih lagi berfikiran seperti masyarakat zaman batu. Lady Montagu, wanita bangsawan era 1718 yang hidup pada zaman Turki Uthmaniyyah pernah mencatat kisah perjalanan hidupnya yang melihat dengan sendiri mata kepala beliau bagaimana keilmuan empayar khilafah mendominasi dunia pada ketika itu.


Lady Montagu juga menjadi saksi zaman di mana penyakit smallpox menjadi satu kerisauan yang melanda sang ibu bapa yang tidak tahan melihat penyakit berjangkit itu menyiksa anak-anak comel mereka. Di dalam catatannya ke Empayar Uthmaniyyah, Lady Montagu mengibaratkan apabila datangnya musim luruh pada bulan September, maka berbondong-bondonglah penduduk wilayah Uthmaniyyah mereka seperti sedang berpesta. Mereka berkumpul masing-masing meminta untuk disuntik dengan “jangkitan yang telah dilemahkan” itu. Beliau turut mengambil peluang dengan mengambil smallpox itu untuk kedua anaknya. Melihat keberkesanan hasil rawatan ini terhadap penyakit tersebut, Lady Montagu menulis dan memperkenalkan kaedah rawatan tersebut jauh ke England, dan nama Lady Montagu terpahat dalam lipatan sejarah sebagai wanita yang terawal memperkenalkan kaedah vaksinisasi di negara barat itu.


Vaksinisasi memainkan peranan terpenting dalam membasmi gejala penyakit berjangkit yang beperingkat-peringkat menggemparkan dunia suatu ketika dulu. Kabut agaknya tokoh pemikir pada zaman itu memikirkan cara untuk mengatasi masalah ini. Di zaman era pra-vaksinisasi, penyakit poliomyelitis pernah menyerang Amerika pada tahun 1917, membunuh sekurangnya 6000 orang dan melumpuhkan beribu-ribu yang lain. Franklin Delano Roosevelt, Presiden Republik Amerika ke32, turut tidak terkecuali. Lumpuh ketika menjengah usia 30-an, presiden itu lebih banyak menghabiskan seluruh hidupnya mentadbir negara dari atas kerusi rodanya. Masyarakat eropah sebelumnya, pada abad 18, mencatatkan, smallpox membunuh sekurangnya 400,000 orang setahun.


Jumlah yang sangat menggemparkan dunia, mengetepikan jumlah mereka yang pernah tercatat menjadi mangsa perang mahupun penghapusan etnik yang wujud selepasnya. Ya, untuk tempoh setahun, jumlah ini terlalu gila. Di sebalik krisis itu, Allah dengan sifat RahmanNya mencampakkan hikmah kepada Edward Jenner. Edward, memperkenalkan kaedah vaksinisasi apabila cubaan memasukkan sedikit penyakit smallpox yang menjangkiti lembu ke dalam anak salah seorang pekebun rumahnya membuahkan hasil. Anak tersebut selamat dan terlindung daripada sebarang jangkitan kerana imun di dalam badannya telah membentuk sistem pertahanan yang kuat. Hasil rangsangan daripada jangkitan penyakit yang lemah itu. Selepas itu muncul pula saintis-saintis yang meneraju era mereka tersendiri dengan penemuan demi penemuan vaksin baru seolah memberi dunia suatu sinar dan harapan, bahawa kegelapan penyakit berjangkit yang menjadi khuatir alam ini akan berakhir seiring dengan kemajuan intelektual manusiawi. Nama-nama seperti Pasteur, Shibasaburo Kitasato, Emil von Behring, Jonas Salk mengiringi saintis-saintis terdahulu menempa kejayaan di pentas dunia vaksinisasi. Bravo. Bravo.


Pujangga Negara seberang, Raden Adjeng Kartini pernah menerbitkan karya kontroversinya pada 1911 yang bertajuk habis gelap, terbitlah terang. Namun berbeza situasinya dengan isu vaksinisasi dunia. Kemunculan pelbagai gerakan anti-vaksin ini nyata membawa kepada kegelapan setelah berlalunya terang yang lama. Mungkin inilah frasa yang terbaik bagi menggambarkan keadaan penolakan rakyat terhadap kaedah prevensi ini. Tatkala penyakit-penyakit berjangkit ini berjaya dihapuskan, maka konsentrasi mereka dilihat mula beralih kepada kesan-kesan sampingan hasil daripada vaksinisasi ini. Kerisauan mereka bertukar. Mereka yang hidup di zaman ini adalah mereka yang tidak pernah menyaksikan kengerian yang pernah wujud suatu ketika dahulu. Lantas neuron-neuron di kepala mereka merembeskan tindak balas yang menyebabkan mereka melakukan perkara yang tidak sepatutnya.


Sejarah pergerakan anti-vaksin ini bukanlah baru sahaja bermula, tetapi pencaknya di pentas rakyat seawal kemunculan vaksin itu sendiri. Edward Jenner di awal penemuannya telah ditentang oleh mereka yang menolak teori vaksinisasi yang dibawa beliau. Rata-ratanya dipengaruhi idea keagamaan, juga pengaruh politik. Tidak lari juga dari mereka yang mengatakan vaksinisasi ini bukanlah dari ajaran kristian. Marcapada, muncul hero alaf baru apabila Gordon Stewart dan Dr Andrew Wakefield masing-masing menerbitkan kajian yang mengaitkan vaksinisasi dengan kesan sampingan yang berisiko tinggi seperti autism. Karyanya yang dicetak oleh penerbit jurnal terkenal ‘Lancet’ terbang meninggalkan benua Eropah dan mendarat kemas di bumi asia, terutamanya Malaysia. Namun apa yang menyebabkan rakyat kita berbeza daripada mereka?


Berbanding melakukan kajian yang terperinci, rakyat Malaysia lebih mudah terhibur dengan suapan-suapan yang mengumpan mereka dengan umpan ‘konspirasi’. Andai di tanya sumber, maka Jerry D Gray bolehlah dikatakan sebagai prophecy dalam menyebarkan dakyah anti-vaksinisasi ini. Bermula dengan siri musuh utama dunia islam Sang Rockefeller dan angkatan zionisnya dikatakan mendanai vaksinisasi bertujuan untuk melemahkan umat sejagat, maka muncullah pejuang-pejuang atas nama agama memperdagang isu demi keuntungan peribadi. Maka perubatan tradisional islam diperkenalkan, dan mereka yang mendengar nama agama, pantas terpesona.


Tidak cukup dengan itu, kajian-kajian terbaru daripada Gordon Stewart dan Dr Andrew Wakefield meniti di tepi bibir mereka dan sering dipetik kononnya menjadikan hujah mereka lebih akademik. Dr Andrew Wakefield yang menerbitkan jurnal beliau mengaitkan vaksinisasi dengan autism pada tahun 1998, telah pun digantung lessen daripada praktis dunia perubatan kerana menyalahi etika kajian. Jurnalnya kemudian ditarik kerana telah mempengaruhi tindakan rakyat. Wabak measles kembali di-isytiharkan endemik pada tahun 2008 setelah 14 tahun penyakit berjangkit itu dikatakan hilang dari bumi United Kingdom. Daniel Jolley dan Karren M Douglas dalam kajiannya “The Effects of Anti-Vaccine Conspiracy Theories on Vaccination Intentions” mengatakan 20% daripada responden mereka bersetuju dengan kenyataan-kenyataan konspirasi yang mereka pernah temui terutamanya di internet. Dan selamat datang, rakyat kita sedang mewarisi tindakan mereka.


Dari laman web Channel New Asia baru-baru ini memberikan maklumat data yang diperolehi dari kementerian kesihatan bahawa trend penolakan vaksin di kalangan ibu bapa meningkat hampir tiga kali ganda kepada 12000 pada tahun 2014 berbanding 470 pada tahun sebelumnya. Nyata peningkatan yang ketara ini pasti akan terus meningkat hasil pergerakan-pergerakan mereka yang agresif dan menjaja nama agama sebagai tarikan. Namun adakah mereka pernah mengkaji apakah implikasinya?


 Melalui kajian yang dilakukan Prof Gangarosa, beliau memperkenalkan negara-negara yang pernah terjejas akibat dari pergerakan kumpulan anti-vaksin ini. Di Sweden, vaksinisasi bermula pada era 1950 yang menyaksikan insiden jangkitan penyakit pertussis semakin berkurangan. Pada tahun 1967, muncul seorang pemimpin perubatan yang berpengaruh, Jusus Strom, yang banyak mempertikaikan kaedah vaksinisasi ini sehingga mengundang sokongan awam kepada pandangan beliau. Pada tahun 1980, kes pertussis meningkat kepada 3370 untuk setiap 100,000 orang setahun. Dan tahun-tahun berikutnya laporan mencatatkan lebih dari 10,000 kes setahun. Perkara yang sama juga berlaku kepada negara-negara maju seperti Jepun, Rusia dan juga UK apabila gerakan-gerakan anti-vaksin ini telah merencatkan trend pengambilan vaksin dikalangan ibu bapa, dan seterusnya mengundang kepada musuh lama dunia. Epidemik. Dan Malaysia, mungkin sedang menuju ke arah yang sama.


Aku masih lagi bertanya, apakah agama ini terlalu mudah dijaja, ataukah masyarakat kita terlalu jahil untuk mengkaji. Lantas pengajaran bagaimana yang ingin kita ikuti? Adakah masyarakat faham peranan Herd Immunity bilamana senang sahaja mereka berhujah, “ kalau nak vaksin, vaksinlah. Kalau taknak vaksin, tak payah marah. Ini hak kami ”. Kita masih lagi degil dengan kejahilan kita. Mencari pula mereka yang bukan ahlinya. Lupakah kita kepada firman Allah s.w.t

“… maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kalian tidak mengetahui.” (an-Nahl: 43)

Cukuplah jahil itu pada ahli politik negara. Usahlah diwarisi kepada rakyat jelata. Kalau tidak mahu vaksin, silalah ke hutan belantara. Maka kami semua akan gembira. Dan sekali lagi persoalan muncul di benak minda, sekiranya Lady Montagu masih ada, apakah beliau akan berdiam saja? Atau adakah beliau akan melemparkan sinis di dalam syair-syairnya. Atau adakah beliau akan berpiket memegang mikrofon menghentam mereka?



IbnuZen